Sedih dan pilu menerima perkabaran pemergian Nazrul Azim Sharuddin, 28, pada petang semalam. Apatah lagi bila hanya mengetahui tentang sakitnya pada pagi hari yang sama. Beliau yang lebih mesra sebagai Azim, dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) setelah didapati mendapat jangkitan pada paru-paru (lung infection).
Mungkin semasa hayatnya, aku tidaklah terlalu rapat dengannya. Walaupun kami pernah berkerja sebagai wartawan di Utusan Malaysia bersama tapi bertugas di meja yang berbeza. Oleh itu, kami jarang sekali berjumpa. Sejak Ogos lalu pula dia telah berkhidmat sebagai Harian Metro.
Walau bagaimanapun, pergaulan sesingkat itu cukup untuk aku mengatakan bahawa beliau merupakan seorang yang baik dan kawan yang boleh diharapkan. Masih lagi aku ingat semasa Majlis Sukan antara Kumpulan Utusan dulu. Itulah kali terakhir kami hang out bersama-sama dengan geng Utusan yang lebih kurang sebaya. Dari situ aku mengenalinya sebagai seorang yang periang dan happy go lucky. Selepas sertai perbarisan kami beramai-ramai keluar makan bersama. Walaupun kami sesat mencari tempat yang hendak dituju tapi kenangan manis itu tidak mungkin dapat dilupakan.
Aku juga pasti tidak akan lupa jasa Azim yang membantu aku masa kereta aku rosak dulu. Masa itu kereta aku seperti mau meletup sebab ada masalah kebocoran pada satu bahagian yang aku pun dah tidak ingat. Menjadi kawan yang baik dia dan beberapa kawan yang lain datang membantu. Terima kasih sahabat.
Kali terakhir aku menghubunginya adalah ketika aku bbm dia untuk tanya mengenai harga telefon Samsung SII beberapa bulan lalu. Berkhidmat sebagai wartawan bahagian Sains dan Teknologi di Utusan (selepas itu sebagai wartawan IT di Metro) menjadikan dia sebagai rujukkan utama mengenai gajet. Tidak dinafikan, dia seorang wartawan yang hebat. Pemergiannya adalah satu kehilangan dalam dunia kewartawanan. Tapi bak kata pepatah, 'Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama'. Namanya akan terpahat di hati kami semua dan segala penulisan beliau akan menjadi rujukan bagi kami dan generasi akan datang. Aku juga difahamkan yang banyak menerima anugerah dalam penulisannya.
Aku tahu ramai yang terkejut dan tidak sangka dengan pemergian sahabat kita ini. Terutamanya mereka yang sangat ramai dengannya. Banyak yang menyatakan kesedihan mereka di Facebook, bbm status dan mungkin juga di media lain yang aku tidak ada akses. Aku pasti ramai juga yang mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan tenang di sana. Begitulah juga doa aku.
Semoga kita yang masih hidup ini tidak terlalu leka kerana kita tidak tahu bilakah ajal kita. (Pesanan untuk diriku sendiri terutamanya)
Al-Fatihah..
ARWAH Azim (atas dan memakai cap) semasa Majlis Sukan Kumpulan Utusan June lalu.. |
KENANGAN bersama Azim |
SEMASA Malam Bling Bling 2012 (April) |
KERATAN akhbar Mingguan Malaysia hari ini (23 Disember 2012) |